GRADUAN yang menganggur semakin ramai setiap tahun. Saya amat simpati dengan anak-anak muda yang bertungkus-lumus belajar semenjak dari sekolah tadika hingga menara gading.
Apabila memperoleh ijazah setelah 15 tahun bersengkang mata mentelaah dan berulang alik ke sekolah, kadang kala berpuluh kilometer atau terpaksa tinggal di asrama berjauhan dengan keluarga dan makan mi segera untuk jimat belanja semasa di universiti.
Akhirnya selepas berjaya pegang segulung ijazah, terpaksa menjadi penganggur terhormat kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapa, maka bekerjalah mereka sebagai operator kilang atau menjadi atendan stesen minyak.
Itulah realiti hidup para belia sekarang. Merasa gah kerana dapat tawaran belajar di universiti tetapi apabila tamat pengajian dengan ijazah di tangan, tidak menjaminkan apa-apa untuk mendapatkan pekerjaan sesuai dengan kelulusan yang ada.
Ramai dalam kalangan graduan ini masih tidak dapat kerja tetap malah mencecah puluhan tahun walaupun berkelulusan kepujian ijazah jurusan sains.
Saranan kerajaan supaya pelajar mengambil mata pelajaran sains, mereka sudah sahut. Namun kenapa pula bila ada ijazah jurusan sains, diabaikan pula jawatan-jawatan yang ada kaitan dengannya?
Bayangkan mereka yang tamat pengajian ilmu kedoktoran pun ada yang belum ditawarkan jawatan hingga bertahun-tahun lamanya, apatah lagi untuk jawatan-jawatan lain.
Sudah sampai masanya kerajaan mencari formula terbaik bagaimana untuk mengatasi segala masalah pengangguran dalam kalangan remaja kita.
Kasihani dan berilah mereka peluang untuk merasa kenikmatan bekerja setelah bertungkus-lumus belajar puluhan tahun selain kesempatan untuk mereka membalas jasa ibu bapa.
Kementerian Pendidikan dan pusat pengajian tinggi negara hendaklah mengambil tindakan yang bijak dan bersesuaian dengan keadaan semasa.
Ini antaranya membuka seluas-luasnya pengambilan pelajar berpotensi dan jaminan pekerjaan dalam jurusan terpilih sahaja dan bukan mengambil ramai pelajar tetapi pasaran pekerjaan terlalu terhad serta tidak terjamin.
Rancang yang terbaik demi masa depan negara dan pastikan ia benar-benar boleh membantu remaja kita supaya tidak menjadi penganggur terlalu lama.
SYED ABDULLAH
SYED OSMAN
Seremban










