KUALA LUMPUR 1 Feb. – Hari pertama bertugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat kejutan dengan berkenan mencemar duli berangkat ke Masjid Jamek Kampung Baru, di sini bagi menunaikan solat Jumaat bersama-sama rakyat jelata.
Kelazimannya, Yang di-Pertuan Agong akan bersolat Jumaat di Masjid Negara atau Masjid Wilayah Persekutuan.
Sehubungan itu, keberangkatan Seri Paduka ke masjid yang terletak di tengah-tengah ibu kota itu menyuntik rasa teruja dalam kalangan jemaah di masjid tersebut yang tidak menjangkakannya.
Keberangkatan Seri Paduka itu menjadi topik perbualan bukan sahaja dalam kalangan jemaah masjid, malah di gerai-gerai makan sekitar kawasan tersebut.
Seri Paduka tiba kira-kira pukul 1.15 petang dan disambut oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan ahli kariah masjid.
Yang turut berangkat adalah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.
Seri Paduka kemudian mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Imam Muhammad Asim Salleh Sani bertajuk Raja Didaulat Negara Dimartabat sebelum bersama-sama rakyat menunaikan solat.
Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka meluangkan masa bersalaman dengan rakyat jelata yang kelihatan begitu teruja, selain memberi sagu hati kepada kanak-kanak.
Walaupun jumlah yang datang untuk bersalaman dengan Seri Paduka ramai, namun Al-Sultan Abdullah tetap tenang dan berusaha melayan mereka.
Peluang itu digunakan sebahagian ahli kariah untuk berswafoto dengan Al-Sultan Abdullah meskipun dari jarak jauh.











