KUALA LUMPUR 21 Feb. – RHB Banking Group (RHB) menerima Anugerah Prestasi Terbaik daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) kerana menyediakan jumlah pembiayaan terbesar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah skim pembiayaan yang dijamin kerajaan.
SJPP adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.) dan pentadbir serta pengurus skim jaminan kredit di bawah MoF Inc.
Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, anugerah tersebut mengiktiraf bank sebagai antara lima institusi kewangan yang memiliki pasaran terbesar bagi pinjaman SJPP berjumlah RM1.43 bilion.
“RHB menyumbang sebanyak 20.1 peratus diikuti oleh SME Bank (15.6 peratus), Maybank (13.8 peratus), Standard Chartered (11.4 peratus) dan United Overseas Bank (8.9 peratus),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Tambah Khairussaleh, pihaknya akan terus merangsang pertumbuhan PKS di Malaysia dengan menyediakan penyelesaian kewangan yang menyeluruh dan ekosistem yang menyokong keperluan operasi.
“Kami berbesar hati menjadi bank pilihan pelanggan yang mempercayai kami mampu menyediakan kepakaran dan perkhidmatan untuk memacu pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya.











