Restoran biak lipas diarah tutup - Utusan Malaysia

Restoran biak lipas diarah tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Padah menimpa kepada tiga buah restoran di Seksyen 7 di sini apabila diarah tutup serta-merta selepas menemui hurungan lipas di dapur yang dipercayai boleh membawa kepada keracunan makanan.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd. Rashidi Ruslan berkata, tindakan itu dilakukan hasil pemeriksaan daripada lima buah restoran yang dilakukan pihaknya bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa dijaga oleh pemiliknya. 

Katanya, penutupan serta-merta selama 14 hari itu dilakukan mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Kita turut mengeluarkan tujuh notis amaran serta enam kompaun kepada kesemua premis yang diperiksa itu termasuk tiga yang diarah tutup. 

“Ini berikutan atas kesalahan tiada suntikan TY2 (anti-typhoid), membuang sisa makanan ke dalam longkang awam, tidak menggunakan tong sampah ditetapkan dan gagal menyelenggara tandas dengan baik serta menggunakan lorong belakang sebagai tempat penyediaan makanan,” katanya ketika ditemui dalam operasi malam tadi.

Beliau memberitahu, kesemua kesalahan kompaun itu dilakukan Undang-Undang Kecil Establishmen Makanan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 2007, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan. 

Kata Mohd. Rashidi, dalam operasi bersepadu mebabitkan MBSA, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Imigresen Selangor serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu menyita 174 kerusi, meja dan pelbagai barangan perniagaan lain yang diletakkan di laluan pejalan kaki serta tempat meletak kenderaan. 

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati ada antara restoran berkenaan pernah diserbu sebelum ini namun masih tegar melakukan kesalahan sama.

“Malah, pemilik restoran yang didapati meletakkan kerusi dan meja melebihi daripada apa yang dibenarkan walaupun telah memohon permit,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×