Restoran berputar Menara Alor Setar kembali dibuka - Utusan Malaysia

Restoran berputar Menara Alor Setar kembali dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 3 Feb. – Setelah kira-kira dua tahun menyepi, restoran berputar di Menara Alor Setar, di sini kembali dengan menawarkan pelbagai juadah menarik sambil menikmati pemandangan 360 darjah bandar raya Alor Setar.

Restoran dan Lounge StarSky yang berketinggian 94 meter itu dilancarkan semalam, sebagai usaha untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri yang mendapat jolokan Jelapang Padi.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Datuk Rozlan Mohamed berkata, Restoran dan Lounge StarSky tersebut adalah kolaborasi antara Kumpulan Segi Seri bersama Menara Alor Setar.

Menurutnya, pembukaan restoran itu juga diharapkan mampu mengembalikan seri Menara Alor Setar sebagai lokasi ikonik yang perlu dikunjungi orang ramai.

“Harga makanan tidak mahal tetapi berbaloi dengan pemandangan indah yang dapat dilihat dan di utara, hanya Menara Alor Setar sahaja yang menyediakan perkhidmatan dan pengalaman menarik ini,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Mohd. Firdaus Ahmad menyempurnakan majlis perasmian Restoran dan Lounge StarSky itu.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Segi Seri, Azhar Baharin.

Sementara itu, Rozlan memaklumkan, seramai 97,000 pengunjung menaiki Menara Alor Setar sepanjang tahun lalu dan pihaknya menyasarkan jumlah 200,000 pelawat tahun ini berikutan pembukaan Restoran dan Lounge StarSky itu.

“Pelbagai promosi dan diskaun-diskaun menarik sehingga 20 peratus akan ditawarkan terutamanya pada hari-hari kelepasan am seperti Tahun Baharu Cina nanti dan perayaan serta sambutan utama lain,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar berkata, Segi Seri komited untuk menjadikan Restoran dan Lounge StarSky sebagai hab perniagaan di utara berikutan lokasinya yang strategik dan dikelilingi tempat yang menarik dan cantik.

“Kita berharap ia dapat menjadi tumpuan pelancong serta tempat rujukan kepada pelajar institut pendidikan tinggi untuk mendapatkan input serta tempat latihan kerana kita akan turut menjalinkan kerjasama dengan institusi pendidikan,” katanya.

Ujar beliau lagi, dengan pengalaman selama 25 tahun dalam bidang pemakanan dan minuman (F&B), Segi Seri akan memperkenalkan menu-menu istimewa termasuk masakan yang sinonim dengan negeri ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN