KUANTAN 27 Feb. – Tahanan reman pasangan suami isteri yang berakhir hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia disyaki menjadi mangsa dera bapa tirinya di Kampung Batu Balik, Pekan dekat sini disambung seminggu lagi sehingga 6 Mac ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata, Mahkamah Majistret Rompin mengarahkan tempoh tahanan reman itu terhadap Muhamad Alias Othman , 54, dan isterinya Nurulzaitunakma Abdul Rahman, 25, bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Dalam kejadian pada 20 Februari lalu, Muhammad Hafiz Abdullah disahkan meninggal dunia setelah dibawa oleh ibu kandung dan bapa tirinya ke klinik Padang Rumbia, Pekan.
Pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kesan cedera disyaki akibat penderaan iaitu kesan lebam baharu di dada, kesan cucuh api rokok di tapak kaki dan bibir pecah.
Keadaan kanak-kanak itu turut lebam sebelah mata kanan serta luka-luka kecil baharu di bahagian kening kanan. – UTUSAN ONLINE










