MELAKA 26 Feb. – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah lori di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Kampung Bukit Lintang, Tiang Dua di sini malam tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 10.30 malam mengakibatkan mangsa, Muhammad Iskandar Mohd. Rizal Abdul Rasyid, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad memberitahu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda ketika itu dalam perjalanan dari arah Kandang menghala ke Alai.
“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, motosikal ditungganginya dikatakan bergesel dengan sebuah lori dari arah yang sama menyebabkan mangsa terjatuh dan terperosok di bawah kenderaan itu sebelum tercampak ke bahu jalan.
“Berikutan kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Afzanizar berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE










