RCI, saman pemula dua perkara berbeza - peguam - Utusan Malaysia

RCI, saman pemula dua perkara berbeza – peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku kehakiman tidak akan memberikan kesan kepada saman pemula yang difailkan anak mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo terhadap Ketua Hakim Negara.

Sangeet memfailkan saman itu bagi memohon deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan institusi itu apabila gagal menyempurnakan siasatan dalaman berhubung keputusan rayuan membabitkan kes hasutan mendiang bapanya dan guru tadika M. Indira Ghandi.

Sangeet yang juga peguam secara peribadi berpendapat RCI tidak memberikan kesan terhadap saman pemula yang difailkan 14 Januari lalu bagaimanapun pihaknya akan meneliti segala dokumen berkaitan perkara itu dengan lebih lanjut.

“Isu sama ada ia akan memberikan kesan atau tidak juga bergantung kepada afidavit balasan yang difailkan Ketua Hakim Negara dan sehingga kini, kami berpandangan RCI serta saman pemulanya adalah dua perkara yang berasingan” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Firuz Jaffril itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy.

Sangeet selaku pemohon dalam saman pemulanya mendakwa terdapat campur tangan melibatkan keputusan rayuan dalam kes Akta hasutan mendiang bapanya di Mahkamah Rayuan seperti yang didakwan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang dilaporkan secara meluas oleh sebuah portal pada 22 Ogos tahun lalu.

Ia turut membabitkan campur tangan dalam kes penukaran agama tiga anak guru tadika, M. Indira Gandhi oleh suaminya yang memeluk Islam, yang diumumkan secara terbuka oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer pada Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Makaysia di sini pada 16 Ogos 2018.

Sangeet turut memohon perisytiharan bahawa, beliau selaku individu yang mempunyai hak dan kepentingan yang terjejas, berhak kepada satu Badan Kehakiman yang bebas dan tidak memihak serta bebas daripada campur tangan dari mana-mana pihak.

Jika terdapat tuduhan campur tangan itu, Sangeet menyatakan bahawa semua orang terbabit termasuk dirinya berhak mendapat maklumat mengenai siasatan dalaman yang dijalankan dalam Badan Kehakiman serta penemuan dan dapatan daripada siasatan berkenaan. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN