Rampas barangan tiruan bernilai RM9,724 dijual secara terbuka - Utusan Malaysia

Rampas barangan tiruan bernilai RM9,724 dijual secara terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Tindakan tiga buah premis menjual pelbagai barangan tiruan secara terbuka sejak setahun lalu di sekitar daerah ini dan Klang berakhir apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, semalam.

Serbuan bermula pukul 3 petang itu, berjaya merampas 410 barangan tiruan melibatkan pakaian, beg, jam dan aksesori bernilai RM9,724. 

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, serbuan itu adalah hasil aduan dan risikan maklumat daripada wakil cap dagang terlibat terhadap kegiatan tidak bertanggungjawab itu dalam mengaut keuntungan tanpa mengikut prosedur yang sah. 

Katanya, wakil cap dagang itu melibatkan jenama Puma, Burberry, Michael Kors dan Tommy Higfiger. 

“Berdasarkan serbuan itu, didapati mereka tanpa berselindung menjual kesemua barangan tiruan itu secara terbuka. 

“Harga barangan tersebut dijual pada harga lebih rendah bagi menarik perhatian para pelanggan mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. 

Menurut beliau, hasil siasatan turut mendapati sebuah premis di Klang tidak serik menjual barangan tiruan walaupun kerap kali diserbu. 

Jelas Azman, ini berikutan permintaan tinggi warga setempat terhadap barangan tiruan tersebut. 

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman sehingga RM15,000 bagi setiap barangan untuk pertubuhan manakala bagi individu penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM10 bagi setiap barangan tiruan atau kedua-duanya sekali,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×