MELBOURNE 25 Feb – Seorang lelaki warganegara Malaysia dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Daerah di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyeluduh lebih 6juta batang rokok, Ogos dua tahun lalu.
Lelaki yang tidak dinyatakan identiti itu juga tidak layak untuk proses parol selama tiga tahun dana akan dihalau keluar dari Australia sebaik sahaja tamat hukuman.
Menurut Australia Border Force (ABF) dalam satu kenyataan bertarikh 23 Februari lalu, rokok-rokok berkenaan disembunyikan dalam `muatan yang canggih’ berasal dari Malaysia dan jumlah cukai yang boleh dikenakan terhadap barangan tersebut melebihi RM11.65 juta.
Lelaki Malaysia yang merupakan salah seorang perancang sindiket penyeludupan itu ditahan bersama seorang lagi individu ketika cuba keluar dari Australia pada 13 Ogos 2017.
ABF turut melaporkan tiga lagi rakyat Malaysia telah ditahan ketika mengeluarkan rokok-rokok berkenaan di dua kilang pada 10 Ogos 2017.
Tiga individu ini masing-masing dikenakan hukuman penjara antara 16 hingga 24 bulan atas pertuduhan memiliki prosuk tembakau yang mana diketahui ia diimport dengan niat untuk mengelak cukai. – UTUSAN ONLINE










