KUALA LUMPUR 1 Feb. – Kadar inflasi negara bagi tahun ini dijangka berada pada paras 1.6 hingga dua peratus ekoran faktor ketidakstabilan pasaran global.
Selagi tidak ada pelan ekonomi yang baik, kos sara hidup rakyat tetap akan meningkat dan membebankan terutamanya dalam kalangan berpendapatan rendah B40.
Pakar ekonomi, Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin berkata, nilai mata wang ringgit jatuh, harga minyak global tidak menentu dan kadar inflasi menyusut setiap tahun, tidak memberi gambaran kos sara hidup rakyat yang sebenar.
Sehubungan itu, katanya yang bertugas di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik untuk meningkatkan kuasa beli rakyat iaitu pelan ekonomi jangka pendek dan panjang.
“Rakyat hanya mahukan jaminan daripada kerajaan daripada sudut pelan ekonomi jangka pendek iaitu melindungi jaringan keselamatan sosial dengan meningkatkan bantuan-bantuan kewangan untuk rakyat termasuk Bantuan Sara Hidup (BSH) dan elaun-elaun lain. Bagi pelan jangka panjang pula, rakyat mengharapkan pelan ekonomi drastik selain memberi tumpuan kepada pengurangan kos sara hidup dalam tempoh lima tahun.
“Selain itu, kerajaan juga perlu mempersiapkan golongan muda untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0 (I.R 4.0) dan menangani masalah pengangguran siswazah dengan menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa kadar inflasi negara bagi tahun ini dijangka berada pada paras 1.6 hingga dua peratus berikutan faktor ketidakstabilan pasaran global.
Guan Eng berkata, keadaan ekonomi negara dijangka lebih baik walaupun kadar inflasi pada tahun ini akan berbeza-beza kerana ia bergantung kepada ketidaktentuan global.
Menurut Irwan Shah lagi, inflasi yang menyusut juga boleh memberi gambaran berlakunya kelembapan ekonomi sesebuah negara.
“Pada saya, jika kadar inflasi menurun, ia menggambarkan kelembapan pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Apa yang kita perlukan adalah satu pertumbuhan yang mapan,” ujarnya.










