SAUDARA PENGARANG,
Suara Melayu Johor (MSMJ) ingin mengingatkan semua pemimpin Melayu di semua peringkat kerana berani membuat keputusan nekad dan melakukan perubahan dengan menamatkan 60 tahun rejim pemerintahan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara.
Kini orang Melayu meletakkan harapan lebih tinggi terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk melakukan perubahan iaitu untuk menyelesaikan isu-isu rakyat dengan pengalaman pertama yang sukar sebagai pemerintah.
Bertambah sukarlah lagi orang Melayu jika parti politik yang mewakili mereka tidak bersuara secukupnya bagi pihak mereka.
Apa yang diharapkan rakyat ialah ‘khidmat untuk rakyat’. Rakyat jangan dimangsakan apabila berbeza aliran politik, laungan demi rakyat adalah keramat bagi rakyat.
Bagi mereka yang mengharapkan dalam tahun 50-an dan 60-an dahulu, masa depan bagi mereka adalah ‘sekarang’. Apa sudah jadi selama ini? Apa telah dibuat dengan ‘kuasa yang diamanahkan’ untuk meneguh dan meyakinkan rakyat sebagai pengundi?
Di sini kami mewakili ‘suara’ rakyat ingin menarik perhatian semua pemimpin yang memerintah agar meneliti perasaan rakyat terhadap kenaikan harga yang membimbangkan. Pada hemat kami keadaan sudah semakin meruncing dan ketara sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Daripada penelitian kami selepas PRU-14, masalah seperti barang keperluan semakin meningkat naik apabila satu demi satu, tiada perubahan harga petrol, gula, tarif elektrik, tambang bas sekolah serta cukai pintu.
Sementara harga getah, kelapa sawit, sangat rendah. Pekebun kecil masih dalam situasi lama, sawah yang kadangkala kering, kadangkala tenggelam, kelapa melawas, begitu juga masalah pengangguran dan masalah teksi terus belum dapat diatasi.
Dalam masa sama, ada yang masih menanggung anak belajar di kota. Perkara-perkara yang disebutkan di atas adalah besar impaknya yang mana rakyat amat terasa malah mempengaruhi pemikiran penduduk bandar dan luar bandar.
Justeru kesan sampingan ini sebenarnya menjadi penyumbang kepada ‘penyakit baharu’ apabila rakyat menghadapi tekanan hingga membawa kepada ‘tentangan pelbagai cara’, secara tidak langsung kerajaan menambah musuh daripada ‘kawan’ kepada ‘lawan’.
Semua analisis di atas adalah daripada suara-suara akar umbi yang kami dekati. Rakyat mengharapkan khidmat untuk rakyat agar tidak menjadi mangsa apabila berbeza aliran politik. Mereka mengharapkan nasib mereka tidak dijadikan ‘komoditi politik’.
Betapa pun persaingan dan permusuhan politik menjadi tajam, seharusnya persahabatan dan kerjasama antara ahli politik perlu terus dipelihara untuk mengutamakan agenda membela rakyat dalam mencari penyelesaian kemelut hidup rakyat yang terhimpit.
Inilah yang amat perlu diberikan perhatian semua pihak dalam PH. Inilah harapan sangat besar rakyat. Jika politik permusuhan terus menjadi warna-warni demokrasi negara, tidak banyak yang boleh diharapkan.
A. Rahman Mahadi
Pengerusi Majlis Suara Melayu Johor (MSMJ)










