BANGKOK 9 Feb. – Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn menyifatkan tindakan kakak sulungnya menjadi calon utama bagi merebut jawatan Perdana Menteri pada pilihan raya umum akan datang adalah tidak sesuai dan tidak mengikut perlembagaan.
Susulan itu, parti Thai Raksa Chart memaklumkan akan mematuhi perintah Raja Thailand tersebut berhubung pencalonan Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Varnavadi semalam bagi mewakili parti yang diterajui ‘sekutu’ politik bekas Perdana Menteri yang digulingkan pada 2006, Thaksin Shinawatra itu.
Channel News Asia melaporkan, titah yang dikeluarkan pihak istana pada lewat malam semalam itu jelas menunjukkan Raja Thailand tidak setuju dengan keputusan Puteri Ubolratana.
Menurut titah yang dikeluarkan dalam Royal Gazette tersebut, status raja dan keluarga diraja berada lebih tinggi daripada kedudukan politik.
Titah tersebut tidak mengkritik Puteri Ubolratana sebaliknya memuji kerja-kerja yang dilakukan untuk rakyat di negara ini.
Bagaimanapun titah itu disasarkan kepada individu di sebalik keputusan mendadak yang dibuat Puteri Ubolratana dalam politik.
“Penglibatan ahli keluarga diraja yang berpangkat tinggi dalam politik dalam apa cara, bertentangan dengan tradisi, adat istiadat dan budaya negara ini.
“Oleh itu, tindakan tersebut adalah dianggap sangat tidak bersesuaian,” titah Maha Vajiralongkorn.
Tegas Raja Thailand, walaupun Puteri Ubolratana telah melepaskan gelaran diraja namun baginda masih sebahagian daripada ahli keluarga diraja. – AFP/AGENSI










