KUALA LUMPUR 5 Feb. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan ucapan selamat bergembira kepada semua rakyat negeri ini yang menyambut Tahun Baru Cina pada hari ini, dengan ucapan “Gong Xi Fa Cai” dan semoga negeri Perlis akan kekal harmoni dan dikurniakan kesejahteraan.
Menurut baginda, semua agama menyeru kepada kebaikan dan kerukunan dalam perhubungan sesama manusia.
Islam, sebagai agama yang mensejahterakan atau agama keamanan sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia, meskipun anutan agama mereka berbeza daripada Islam, titah baginda.
“Meskipun berbeza agama dan kepercayaan, Nabi Muhammad yang merupakan utusan Allah telah mendidik dan mengajar umatnya supaya tidak meminggirkan soal keharmonian di kalangan masyarakat.
“Sebarang bentuk kezaliman dan penindasan adalah ditentang dan dilarang dalam Islam. Ini adalah contoh dan sudut pandang Islam yang sangat menitik beratkan soal keharmonian dalam kehidupan masyarakat,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menambah bahawa terbukti dalam catatan sejarah di zaman pemerintahan Islam dahulu lagi, sebaik sahaja Nabi Muhammad Salallahualihi Wasalam menjadi Ketua Negara Islam yang ketika itu berpusat di Madinah, maka Piagam Madinah telah diperkenalkan sebagai Perlembagaan Negara.
Dalam piagam tersebut, titah baginda, penduduk tetap Madinah yang bukan beragama Islam telah diberikan jaminan oleh berhubung soal keselamatan dan ketenteraman mereka sama seperti orang Islam yang lain.
Turut mengucapkan selamat menyambut tahun baru Cina adalah anakanda-anakanda baginda berdua, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. – UTUSAN ONLINE










