Purata dua maut sehari berulang alik tempat kerja - Utusan Malaysia

Purata dua maut sehari berulang alik tempat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT 26 Feb. – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merekodkan purata dua kes kematian setiap hari akibat kemalangan perjalanan semasa berulang alik ke tempat kerja tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Perkeso,  John R. Marin berkata, daripada 72,631 kes pelbagai kemalangan tahun lalu, sebanyak 35,195 kes atau 48 peratus adalah kemalangan perjalanan semasa berulang alik ke tempat kerja.

“Daripada 35,195 kes itu, 666 pekerja maut akibat kemalangan perjalanan berbanding dengan 222 kes kematian akibat kemalangan di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Bersama Pekerja Inisiatif Perkeso dan PDRM Peringkat Zon Utara di Perindustrian Kampung Acheh di sini hari ini.

Yang turut dihadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Perak, Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham dan Naib Presiden YTY Group, G. K. Teoh.

Menurutnya, daripada jumlah kemalangan pelbagai kes tersebut, sebanyak 3,194 kes berlaku di negeri Perak yang mencatat 56 kematian atau lapan peratus kemalangan maut.

Katanya, pihaknya memandang serius masalah tersebut kerana implikasinya begitu besar terhadap semua pihak.

“Pada tahun lepas sahaja, anggaran jumlah perbelanjaan Perkeso untuk kemalangan perjalanan yang melibatkan kematian, hilang upaya dan kecederaan adalah dalam lingkungan RM600 hingga RM800 juta,” katanya.

Katanya, kajian yang dijalankan oleh Perkeso bersama universiti awam menunjukkan lebih 52 peratus kemalangan perjalanan berlaku ketika dalam perjalanan pergi ke tempat kerja dan hanya dalam lingkungan lima kilometer sahaja daripada destinasi.

Menurutnya, 65 peratus kemalangan perjalanan melibatkan golongan muda berumur bawah 40 tahun manakala 80 peratus adalah golongan pekerja lelaki.

“Malangnya 76.9 peratus adalah kemalangan perjalanan ke tempat kerja membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal berbanding kenderaan lain,” katanya.

Kata beliau, antara faktor kemalangan perjalanan semasa berulang alik ke tempat kerja disebabkan keletihan bekerja dan tergesa-gesa untuk ke tempat kerja kerana terlewat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN