KUALA LUMPUR 31 Jan. – Faktor kurang pengalaman dipercayai menjadi punca berlakunya ‘pergaduhan’ sesama sendiri dalam kalangan menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH).
Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, banyak yang perlu dipelajari barisan Kabinet ini sebelum mereka mencapai prestasi ke satu tahap memberangsangkan.
Beliau juga berharap menteri Kabinet PH mendengar teguran bekas Pengerusi Majlis Penasihat

Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dengan baik dan tidak mudah melenting.
“Kita ambil positif perkara ini, Tun Daim merupakan orang berpengalaman dan berpengaruh di negara dan sewajarnya barisan menteri Kabinet mengambil serius teguran yang beliau berikan demi kebaikan kerajaan dan semua pihak.
“Pergaduhan atau pergolakan dalam Kabinet ini bukan perkara baharu kerana perkara sama pernah berlaku dalam pemerintahan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Daim semalam menasihati sesetengah menteri Kabinet supaya tidak terus ‘bergaduh’ sesama sendiri secara terbuka kerana ini boleh menimbulkan rasa muak rakyat kepada kerajaan.
Beliau berkata, meskipun difahami bahawa semua menteri Kabinet adalah baharu, namun sikap seumpama itu tidak boleh dibiarkan sebaliknya disarankan supaya sentiasa menunjukkan semangat bersatu-padu.
Mengulas lanjut, Mazlan melihat tiada keperluan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merombak Kabinet dalam masa terdekat berhubung isu tersebut.
“Buat masa ini saya lihat Dr. Mahathir cuba beri peluang kepada menteri untuk belajar. Namun, jika perkara ini berlanjutan untuk dua ke tiga tahun mendatang, tindakan wajar diambil bagi memperbetulkan keadaan,” katanya.











