Program pelesenan dilancar - Utusan Malaysia

Program pelesenan dilancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kara Holdings Sdn. Bhd. (Kara) optimis terhadap pertumbuhan perniagaan pada tahun ini dengan menyasarkan pembukaan sebanyak 20 cawangan baharu Kedai Ayamas di seluruh negara menerusi pengenalan program pelesenan bagi jenama tersebut.

Pengerusinya, Mohd. Sahir Rahmat berkata, program pelesenan Kedai Ayamas yang diper­kenalkan itu merupakan salah satu langkah untuk mengembangkan perniagaan syarikat selain menyokong pembangunan usahawan tempatan dalam industri makanan dan minuman (F&B).

“Di bawah program pelesenan ini, pemegang lesen akan diberikan sokongan penuh terhadap semua aspek aktiviti perniagaan Kedai Ayamas termasuk latihan sumber manusia, produk dan perkemba­ngan menu, pengurusan kewangan, pemasaran dan promosi serta bekalan produk terjamin.

“Menerusi program ini, syarikat menawarkan empat pakej pilihan kepada usahawan yang berminat.

“Antaranya perniagaan konsep Kedai Ayamas melalui trak makanan pada harga kurang dari RM100,000, kios (bermula dari RM100,000), hibrid (RM300,000) dan restoran (RM400,000),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman program pelesenan Kedai Aya­mas di cawangan Kedai Ayamas Taman Tun Dr. Ismail di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd., Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Eksekutif Kara, Abdul Rahman Md. Dawi dan Ketua Projek Khas, Abdul Hady Zabil.

Kara turut menyasarkan untuk membangunkan sebanyak 100 buah Kedai Ayamas melalui pemegang lesen menjelang tahun 2023.

Ketika ini, terdapat 49 buah Kedai Ayamas di seluruh negara, merangkumi 40 buah kedai milik Kara manakala, 9 buah cawa­ngan oleh pemegang lesen.

Sementara itu, menurut Mohd. Sahir, syarikat turut menyasarkan pe­ningkatan jualan kepada RM40 juta pada tahun ini berbanding RM35 juta yang berjaya direkodkan tahun lalu.

“Kami yakin unjuran berkenaan mampu dicapai khususnya menerusi pengenalan program ber­kenaan selain melihat kepada komitmen usahawan yang berdaftar bagi me­ningkatkan jualan.

“Ini kerana, mereka boleh memanfaatkan jenama dan kelebihan Kedai Ayamas dalam perniagaan dijalankan.

“Selain menjual ayam segar yang diiktiraf halal, Kedai Ayamas turut menawarkan makanan sedia di makan seperti nasi beriani bukhara ayam, nasi pilaf ayam mentega, nasi kandar ayam masala, nasi bijan ayam bulgogi serta nasi kari hijau ayam,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN