PETALING JAYA – AMMB Holdings Bhd. (AmBank) bakal memperkenalkan produk khusus untuk pelanggan digital pada suku kedua tahun ini yang merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi digitalnya bagi menawarkan produk dan perkhidmatan lebih menarik kepada pelanggan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AmBank, Datuk Iswaraan Suppiah berkata, produk baharu itu mungkin diperkenalkan sekitar bulan April atau Mei depan.
Jelasnya, dengan memanfaatkan teknologi digital, pihaknya boleh menjimatkan kos operasi serta sumber manusia dan penjimatan tersebut boleh dipulangkan kepada pelanggan menerusi pengenalan pelbagai produk yang unik dan inovatif.
“Kami akan bermula dengan produk deposit, ia akan memberi lebih fleksibiliti untuk menyimpan pada kadar keuntungan yang menarik,” katanya kepada Kosmo! di pejabat digital AmBank di Wisma AmFRIST, Kelana Jaya baru-baru ini.
Enggan mengulas lanjut mengenai produk baharu itu, Iswaraan menerangkan, kemajuan teknologi akan membolehkan pihaknya mempertimbangkan pengenalan produk-produk baharu yang sebelum ini tidak dapat ditawarkan atas pelbagai faktor termasuk kos.
Jelasnya, perbankan internet telah mengubah pandangan dan cara orang ramai dalam berurusan dengan pihak bank.
Tambah beliau, semakin ramai beranggapan untuk keluar berurusan secara fizikal di premis dan cawangan bank adalah sesuatu yang menyusahkan.
“Kami cuba untuk menyenangkan kehidupan pelanggan, masa yang dihabiskan di premis bank sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk melakukan perkara yang lebih penting bagi mereka,” katanya.










