SEMENYIH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 30 laporan polis sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih bermula pada 16 Februari lalu hingga hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superitendan Mohd. Sabri Abdullah berkata, jumlah kertas siasatan yang dibuka masih kekal sebanyak lapan kertas siasatan.
“Pihak polis sudah mengambil keterangan pihak berkaitan dengan kertas siasatan yang dibuka.
“Kita juga telah meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi bagi siasatan kes-kes tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.
Kertas siasatan dibuka antaranya bagi kes berkaitan fitnah, khianat dan mendatangkan kecederaan dengan rusuhan.
Mohd. Sabri menambah, pihak polis juga telah mengeluarkan 228 permit ceramah atau kempen politik.
“Pecahannya adalah seperti berikut iaitu Barisan Nasional (97), Pakatan Harapan (115), Parti Sosialis Malaysia (14) dan Bebas (2).
“Kita mengesahkan bahawa kesemua parti dan calon bebas terlibat mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang berlangsungnya PRK Semenyih,” ujarnya. – K! ONLINE










