PRK Semenyih: PDRM terima 24 laporan polis - Utusan Malaysia

PRK Semenyih: PDRM terima 24 laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kajang – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 24 laporan polis sepanjang tempoh Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bermula 16 Februari lalu hingga hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Sabri Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, enam kertas siasatan telah dibuka termasuk kes terbaharu membabitkan kereta milik pembantu kepada calon Barisan Nasional (BN) yang disimbah cat malam semalam.

“Kita juga menerima laporan polis yang dibuat seorang lelaki berusia 50-an yang mendakwa difitnah memberikan wang RM100 kepada semua pengundi di DUN Semenyih, semalam. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

“Selain itu, kita telah menerima laporan yang dibuat oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo kelmarin dan kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, pihaknya telah mengeluarkan 104 permit bagi calon bertanding mengadakan aktiviti ceramah dan politik sepanjang tempoh berkempen bagi PRK DUN Semenyih. 

“Pecahan permit membabitkan BN (35), PH (62) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) (7), dan tiada permit dipohon oleh calon bebas. 

“Saya juga ingin menasihatkan agar parti-parti yang terlibat mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang tempoh PRK DUN Semenyih dan membuat permohonan permit bagi tujuan berkempen,” jelasnya.

Tambahnya, parti-parti yang terlibat dinasihatkan untuk memastikan penyokong menjaga tingkah laku bagi memastikan proses kempen berjalan lancar dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN