KUALA LUMPUR – Mahasiswa dan belia di Semenyih yang akan turun mengundi pada Sabtu ini perlu mengundi calon Barisan Nasional (BN) bagi mengajar Pakatan Harapan kerana mungkir janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyeru agar belia dan mahasiswa yang mengundi di DUN Semenyih, untuk kali ini, undilah BN agar suara pembangkang menjadi kuat di sidang DUN dan sebagai pengajaran kepada PH yang telah menipu rakyat.
“Bukan apa, sebelum PRU lalu, pakar-pakar strategik mereka seperti Rafizi Ramli, Tony Pua dan yang lain-lain telah menyatakan dan telah mengkaji sedalam dalamnya bahawa tol boleh dimansuhkan, PTPTN boleh dihapuskan, pendidikan diberikan percuma dan janji sampai orang boleh terbayang yang ‘gajah pun boleh terbang’ telah membuatkan rakyat terpedaya dengan kata-kata mereka.
“Zaman dulu bolehlah mereka sembang kencang kerana tidak banyak yang menggunakan media sosial. Tapi ada juga video-video di YouTube yang membuktikan mereka berkata, dusta seperti harini kita perintah kerajaan, esok 24 jam minyak turun, hari ini kita menang, esok tol hapus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muqharabbin yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai berkata, janji tersebut hanya retorik untuk berkuasa semata-mata dan banyak bantuan rakyat termasuk bantuan untuk mahasiswa dan anak muda dibatalkan serta dikurangkan.
“Jadi, saya berharap sangat agar belia dan mahasiswa, jangan lagi bimbang untuk ajar kerajaan dengan kembali mengundi BN semula.
“Kita tidak kisah kalau kerajaan kini mampu menjana ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat. Tapi sehingga hari ini, negara menjadi semakin huru-hara dan keadaan ekonomi tidak menentu serta semangat perpaduan kaum semakin terjejas,” ujarnya.
Katanya lagi, kita sebagai rakyat perlu bangkit untuk memberikan kata dua kepada kerajaan melalui PRK kali ini. – K! ONLINE










