PRK Semenyih: Azman, Rohani  calon disenarai pendek - Utusan Malaysia

PRK Semenyih: Azman, Rohani  calon disenarai pendek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Feb.- Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Langat, Rohani Kasim dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Hulu Langat, Azman Ahmad merupakan antara nama yang disenarai pendek sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih. 

Menurut sumber, kedua-dua mereka tersebut merupakan antara enam nama yang telah diserahkan oleh UMNO Selangor kepada UMNO Pusat untuk dipertimbangkan sebagai calon mewakili BN pada PRK yang bakal  berlangsung pada 2 Mac itu nanti. 

“Turut berada dalam senarai itu ialah seorang kepemimpinan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Langat serta seorang lagi merupakan seorang usahawan terkenal di daerah ini,” katanya. 

“Terdapat satu lagi nama dicalonkan iaitu anak tempatan namun dia hanyalah ahli UMNO biasa dan tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti,” kata sumber tersebut kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Untuk rekod, Azman merupakan calon BN bagi Parlimen Hulu Langat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu. 

Baru-baru ini, Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd. Aziz berkata, sebanyak enam nama pilihan UMNO bahagian itu untuk menjadi calon BN bagi PRK Semenyih sedang dalam proses tapisan BN pusat.

Menurutnya, selepas proses tapisan selesai, nama yang terpilih akan diumumkan pada 13 atau 14 Februari ini.

PRK Semenyih diadakan apabila wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd. Nor, 57, me­ninggal dunia akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat itu mengalahkan Johan, wakil rakyat dua penggal DUN Semenyih, dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN