PUTRAJAYA – Seramai 858 orang daripada jumlah keseluruhan 951 orang pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan turun mengundi esok.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, kesemua pengundi awal terdiri daripada anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan mereka.
Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 761 orang akan mengundi di Pusat Mengundi Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih dan 97 orang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
“Selain itu, 93 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis PGA telah mengundi secara pos.
“Pusat pengundian awal akan dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang. Bagi pusat mengundi IPD Kajang pula, waktu pengundian ditutup pada pukul 2.00 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, menurut Azhar, proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh setiap ejen calon yang bertanding dalam PRK dan pemerhati-pemerhati pilihan raya daripada wakil-wakil organisasi serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR.
Ujarnya, kertas-kertas undi awal itu tidak akan dikira di tempat mengundi esok sebaliknya ia akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.
“Peti-peti undi awal tersebut akan dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok yang ditetapkan SPR untuk pengiraan dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing 2 Mac nanti,” katanya. – K! ONLINE










