PUTRAJAYA 25 Feb.- Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan meneruskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih seperti mana ditetapkan sebelum ini.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa proses pilihan raya itu adalah sah dan mengikut undang-undang.
“Mahkamah itu menolak tuntutan saman yang dibuat seorang pengundi berdaftar di Semenyih terhadap SPR.
“Sehubungan itu, SPR akan meneruskan PRK Semenyih seperti mana yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak saman difailkan seorang pengundi berdaftar di kawasan DUN Semenyih bagi menghalang SPR mengendalikan PRK kawasan berkenaan yang ditetapkan pada 2 Mac ini.
Pada Februari lalu, pengundi DUN Semenyih, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff, 58, memfailkan saman pemula terhadap SPR bagi menghalang suruhanjaya itu daripada mengendalikan PRK DUN Semenyih.
Sabariah dilapor berkata, beliau memutuskan untuk mengambil tindakan saman itu selepas timbul isu dalam media sosial berkaitan SPR sama ada ia satu entiti yang sah atau tidak di sisi Perlembagaan Persekutuan.
Dalam tuntutan saman pemulanya, Sabariah memohon perintah deklarasi bahawa entiti SPR tidak wujud dan tidak sah dan atau tidak berperlembagaan selepas 1 Januari lalu menurut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Pemohon mendakwa mesyuarat SPR yang bertarikh 18 Januari dipengerusikan oleh Azhar, seorang diri tanpa keanggotaan Timbalan Pengerusi dan lima ahli lain adalah tidak sah, batal serta melanggar Fasal 114 (1).-UTUSAN ONLINE











