Prestasi Selangor makin positif - Utusan Malaysia

Prestasi Selangor makin positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUA jurulatih Selangor, B. Sathianathan berharap diberikan masa untuk membimbing skuad Gergasi Merah mengharungi sekurang-kurangnya 10 perlawanan Liga Super sebelum prestasinya boleh dinilai oleh para penyokong atau pihak pengurusan.

Katanya, persefahaman pemain sudah mula positif terhadap falsafah bola sepak yang cuba diterapkan olehnya selepas berjaya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.

“Saya bangga dengan prestasi pemain pasukan kami pada perlawanan ini yang dilihat sudah mula mendapat rentak meskipun beraksi dengan tekanan hebat ekoran keputusan negatif sebelum ini.

“Lebih membanggakan, kami berjaya mengharungi perlawanan sukar tanpa kelibat dua pemain import, Taylor Regan dan Sandro selain Khyril Muhymeen yang masih belum cergas sepenuhnya.

“Saya percaya Selangor masih berada di landasan tepat tetapi perlu diberi masa sekurang-kurangnya 10 perlawanan sebelum dapat melihat hala tuju sebenar,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Mengulas lanjut, Sathianathan menjelaskan, anak-anak buahnya belum boleh tersenyum dengan keputusan tersebut kerana bakal berdepan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam pada Jumaat ini.

“Pasukan akan terus menghadapi tekanan selagi tidak meraih kemena­ngan pertama termasuk saya. Namun, saya harap pemain dapat meningkatkan pres­tasi dan bekerja keras kerana mereka akan berdepan pasukan terbaik liga, JDT selepas ini.

“Mungkin akan ada rombakan dalam kesebelasan utama tetapi bergantung kepada fokus pemain sepanjang sesi latihan nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN