PPM Langkawi tahan lima nelayan Thailand ceroboh perairan negara - Utusan Malaysia

PPM Langkawi tahan lima nelayan Thailand ceroboh perairan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI – Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi menahan lima nelayan warga Thailand selepas didapati menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan di perairan Tanjung Dagu di sini semalam.

Bot pertama ditahan di kedudukan 4.91 batu nautika dari Tanjung Dagu kira-kira pukul 10 pagi diikuti bot kedua di kedudukan 3.24 batu nautika dari lokasi sama setengah jam kemudian.

Pegawai Pemerintah PPM Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, empat anggota yang melakukan rondaan Op Gelora dengan bot RH9 bertindak menahan sebuah bot nelayan asing dinaiki tiga lelaki Thailand.

“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga nelayan berusia 24 hingga 47 tahun dan berasal dari Puju, Thailand itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mereka juga didapati melakukan aktiviti menangkap ikan secara tidak sah di perairan laut negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, pihaknya merampas bot fiber tersebut, sebuah enjin ekor panjang jenama Kubota dan 30 bubu udang lipan dengan anggaran nilai keseluruhan RM10,000.

Menurut Rohizan, tangkapan kedua melibatkan dua lagi nelayan warga Thailand berusia 24 dan 31 tahun yang juga didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta menangkap ikan secara haram di perairan negara.

“Dalam tangkapan ini kita merampas sebuah bot fiber tidak bernombor dengan enjin ekor panjang jenama Honda serta 30 bubu udang lipan dianggarkan bernilai RM10,000,” ujarnya.

Tambahnya, lima nelayan dalam dua tangkapan berasingan itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN