Politik kita kian merepek? - Utusan Malaysia

Politik kita kian merepek?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI ahli politik dan menjaga survival dalam bidang itu bukanlah sesuatu yang mudah. Usaha yang diambil oleh seseorang ahli politik untuk berjaya ke puncak sehingga menjadi seorang pemimpin memerlukan jangka masa amat panjang.

Sebahagian besar daripada usia mesti dikorbankan untuk tujuan ini. Keadaan sebegini terjadi tanpa mengira apa pun parti dan prinsip yang didukung.

Itulah yang telah dan sedang terjadi dalam politik di negara kita, mungkin juga akan berterusan pada masa depan. Semua perilaku ahli politik sekarang jelas boleh disaksikan oleh rakyat melalui pelbagai aplikasi media sosial di samping pemerhatian secara berdepan dalam ceramah atau perjumpaan.

Ada kalanya kita boleh lihat dan perhatikan orang politik jadi tidak berprinsip, berpendirian malah tidak bermoral. Pada masa sama, pandai pula bermuka-muka.

Apabila ada keperluan, pemimpin politik dengan bersahaja boleh membawa watak agamawan, patriotik, pejuang bangsa, empati, motivator dan pelbagai lagi yang baik-baik belaka.

Pada masa sama pula boleh menjadi seteru, pencetus provokasi, pembohong atau lidah bercabang, tamak dan aneka macam perangai lain yang tidak melambangkan kewibawaan seorang pemimpin hebat.

Kadang-kadang sebagai rakyat biasa, saya tidak dapat merasakan agenda membina negara dan menjaga kesejahteraan rakyat menjadi matlamat utama ahli politik di negara ini.

Entah berapa peratus sahaja pemikiran digunakan untuk tujuan sebenar menjadi pemimpin hebat dan disanjungi atas jasa kepimpinan yang menyumbang kepada kesejahteraan negara dan rakyat.

Jelas sekali ‘lakonan’ ahli politik boleh diperhatikan berterusan dari semasa ke semasa. Saban hari ada sahaja kenyataan berubah-ubah, tidak menepati janji atau manifesto, lompat parti, menikam kawan, berbaik setelah bermusuh sekali pun pernah didera secara fizikal dan mental.

Pelik juga kalau difikirkan sekali imbas, namun ia bukanlah perkara yang menghairankan kalau pemimpin-pemimpin berkenaan mempunyai pelbagai agenda terutamanya untuk kepentingan peribadi, keluarga, harta benda dan kelangsungan politik.

Bagi rakyat yang memerhati secara terperinci perkembangan politik negara dari sejarah lepas khususnya dalam tempoh dua puluh tahun kebelakangan ini, tentu bersetuju dengan pandangan ini.

Pelbagai peristiwa kepimpinan dalam negara sebelum ini sama ada perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri Kabinet, ketua menteri dan menteri besar adalah bukti tahap yang kurang menguntungkan rakyat berlarutan sekian lama.

Jadi sampai bilakah politik dan kepimpinan yang betul-betul mantap dan beretika baik akan wujud di negara kita ini? Cukup-cukuplah anda semua menjadi pelakon dan berterusan berlakon di depan rakyat.

Pemimpin dan rakyat boleh sahaja menyenangkan atau menyusahkan sesama sendiri. Oleh itu keikhlasan mesti ada pada kedua-dua pihak untuk membina negara yang makmur dan sejahtera.

ZULKIFLI Z. ABIDIN

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN