SUBANG JAYA 3 Feb. – Polis merampas sebanyak 90 bungkusan dadah jenis ketamin seberat 92.7 kilogram bernilai RM5.6 juta dalam serbuan di Persiaran Jengka, di sini, kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira pukul 7.40 malam itu, seorang lelaki berusia 41 tahun turut ditahan ketika sedang memandu kereta Nissan Almera berisi dadah tersebut.
Timbalan Pengarah Jabatan siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, pada waktu yang sama, pihaknya turut menahan dua lagi lelaki berusia 49 dan 54 tahun dalam serbuan kedua di kawasan rehat dan rawat Sungai Buloh dipercayai rakan subahat tangkapan pertama.
“Ini merupakan rampasan terbesar dadah jenis ketamin oleh JSJN pada tahun ini yang dipercayai mampu dibekalkan kepada lebih 300,000 penagih.
“Dalam serbuan itu juga, kita turut merampas tiga buah kereta, wang tunai sebanyak RM8,000 dan seutas jam tangan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek ditahan reman sehingga 8 Februari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati. – UTUSAN ONLINE











