IPOH 1 Feb. – Polis menerima satu lagi laporan terhadap pengasuh yang merupakan suspek kes dera seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan yang meninggal dunia selepas empat hari koma, Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman berkata, laporan tersebut dibuat oleh ibu bayi lelaki berusia sembilan bulan itu, kelmarin di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung selepas mengetahui berita mengenai kematian mangsa.
Katanya, ibu bayi itu mendakwa anaknya turut mengalami beberapa kesan kecederaan semasa di bawah asuhan pengasuh sama iaitu bengkak di kepala dan kesan cubitan di telinga kanan.
“Wanita terbabit memberitahu dia telah berhenti daripada menghantar anaknya itu ke pengasuh sama selepas mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada anggota badan anaknya.
“Dia bagaimanapun tidak melaporkan perkara tersebut kepada polis ekoran kecederaan yang tidak serius namun hanya mengambil tindakan selepas mengetahui berita kematian bayi lain di bawah jagaan pengasuh sama baru-baru ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Utusan Malaysia Isnin lalu melaporkan, seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan yang koma selama empat hari meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini selepas didakwa didera oleh pengasuhnya di Kuarters IPD Manjung Jumaat lalu.
Muhammad Firas Danial Muhammad Nizar yang baharu tiga minggu di bawah jagaan pengasuh tersebut dihantar ke hospital setelah didapati tidak bergerak dan berada dalam keadaan lemah. – UTUSAN ONLINE











