ALOR SETAR – Polis menahan seorang lelaki berumur 37 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di Pokok Sena dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Dahlia, Naka, Kuala Nerang dekat Padang Terap semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, menerusi Op Tapis, sekumpulan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Padang Terap yang dibantu anggota Balai Polis Naka telah menyerbu rumah suspek yang dipercayai tokan dadah dalam operasi dua jam yang bermula 8.30 pagi.
“Kita telah merampas 95.20 gram dadah disyaki syabu yang bernilai RM14,280. Siasatan mendapati suspek yang merupakan penganggur mempunyai tujuh rekod lampau berhubung dadah mula aktif semula melakukan kegiatan tersebut sejak tujuh bulan lalu.
“Suspek menyewa sebuah rumah di Naka, Kuala Nerang sejak dua bulan yang lalu bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti dadah. Dadah tersebut adalah untuk diedar kepada pengedar kecil-kecilan dan penagih di kawasan Pokok Sena,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Noh berkata, suspek yang positif dadah jenis syabu itu dipercayai mendapatkan bekalan dadah tersebut dua kali seminggu daripada seorang lelaki yang dikenalinya sejak setahun yang lalu di Sungai Dua, Pulau Pinang.
“Suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan kini direman sehingga 11 Februari depan untuk siasatan lanjut,” katanya. – Bernama










