KUALA LUMPUR 25 Feb. – Polis menahan tiga lelaki dalam dua tangkapan melibatkan dadah di pasar sayur Balai Ringin dan Ladang Salcra Melikin, Sarawak, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintenden Aswandy Anis berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 29 hingga 36 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Serian.
“Tangkapan pertama dilakukan pada pukul 12 tengah malam melibatkan seorang lelaki yang dilihat mencurigakan dan pemeriksaan menemukan satu peket plastik lutsinar yang berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah methamphetamine seberat 0.25 gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Aswandy, tangkapan kedua pula dilakukan kira-kira pukul 2 pagi selepas polis menahan sebuah Honda Civic yang dinaiki oleh dua lelaki.
Jelasnya, hasil pemeriksaan menemukan empat peket lutsinar berisi ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 17.54 gram yang disimpan dalam sebuah beg kecil di kereta tersebut.
Ujarnya, ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek positif methamphetamine dan nilai rampasan bagi kedua-dua tangkapan berjumlah RM2,000.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (a)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











