MACHANG – Polis menahan empat lelaki termasuk seorang remaja dan merampas 86 kilogram daun ketum, 285 botol ubat batuk dan 45 bungkusan cecair dalam satu serbuan di belakang sebuah rumah di Kampung Pek, di sini kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira pukul 9.15 pagi, bertindak atas maklumat orang ramai sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Machang telah menahan empat lelaki berusia antara 18 hingga 54 tahun dalam keadaan yang mencurigakan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Komisioner Mohd. Shamsuri Mohd. Zain berkata, hasil serbuan tersebut, pasukan itu telah menemui empat lelaki sedang berhimpun dan memproses cecair keperangan disyaki daun ketum di belakang rumah milik salah seorang daripada mereka.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati cecair tersebut mengandungi 31.5 liter air ketum, 430 bungkus tumbuhan hijau disyakki daun ketum dan 285 botol ubat batuk dengan nilai keseluruhan bernilai RM6,757.50.
“Ketika serbuan dilakukan terdapat empat lelaki yang sedang berhimpun dan memproses kegiataan berkenaan. Saringan awal mendapati dua daripadanya positif amphetamine manakala dua lagi negatif dadah.
“Hasil siasatan mendapati bekalan daun ketum ini diperolehi dari Kedah manakala ubat batuk daripada Kuala Lumpur. Modus operandi mereka adalah memproses dan menjual cecair itu di sekitar Kampung Pek dan sempadan Kuala Krai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini hari ini.
Mohd. Shamsuri berkata, hasil siasatan mendapati cecair air ketum yang sudah diproses akan dijual dengan harga antara RM10 hingga RM15 sebungkus.
“Kegiatan memproses tersebut sudah bergiat aktif kira-kira sebulan yang lalu dan pembeli akan datang ke tempat berkenaan untuk membelinya. Keempat-empat suspek juga mempunyai rekod lampau di mana tiga darinya berkaitan dadah dan seorang lagi berkaitan perjudian.
“Keempat-empat mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 bagi siasatan lanjut,” ujarnya. – K! ONLINE










