ALOR SETAR – Polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di Kulim semalam bagi membantu siasatan kes penderaan anak lelakinya yang berumur lima tahun.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, lelaki itu dipercayai memukul anaknya menggunakan penyangkut baju plastik sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami lebam di beberapa bahagian badan pada 30 Januari lalu.
“Semalam, kanak-kanak itu hadir ke tadika pada pukul 7.30 pagi dan seorang guru wanita melihat kanak-kanak itu berada dalam keadaan lesu, batuk dan terdapat kesan lebam dimukanya. Apabila guru terbabit bertanya kanak-kanak itu telah memberitahu bapanya telah memukulnya di rumah.
“Hasil pemeriksaan, guru terbabit menemui kesan lebam dibahagian belakang badan, tangan kiri dan kanan, pipi kiri dan kanan dan di bahagian punggung. Guru wanita itu kemudian telah membuat laporan polis pada pukul 11.18 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kanak-kanak itu seterusnya dibawa ke Hospital Kulim dan pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan kecederaan mangsa adalah disebabkan dipukul menggunakan objek tumpul. – Bernama










