COLOMBO, Sri Lanka – Polis Sri Lanka merampas hampir 300 kilogram heroin bernilai AS$17 juta (RM69.2 juta) sekali gus rampasan dadah terbesar di pulau itu tahun ini dan memberkas dua suspek, kata jurucakap pihak berkuasa, Ruwan Gunasekera hari ini.
Ejen-ejen antinarkotik dan komando Pasukan Gerak Khas menyerbu tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di ibu kota, Colombo petang kelmarin dan menemui dadah tersebut disembunyikan di dalam dua buah van, kata Gunasekera.
“Heroin itu diisi ke dalam 272 beg plastik dan sedia untuk diedarkan.
“Kami masih menyiasat bagaimana dadah tersebut dibawa masuk ke negara ini,” katanya lagi.
Menurut Gunasekera, heroin itu keseluruhannya mempunyai berat 294.4 kilogram.
Pada tahun 2013, polis Sri Lanka merampas sejumlah 260 kilogram heroin yang dibawa masuk ke negara itu dengan disembunyikan di dalam beberapa buah traktor diimport dari Pakistan.
Rampasan dadah terbesar di Sri Lanka berdasarkan berat dibuat pada Disember 2016 apabila polis merampas sejumlah 800 kilogram kokain.
Pihak berkuasa percaya Sri Lanka yang terletak di Lautan Hindi digunakan sebagai pusat transit oleh sindiket penyeludupan dadah antarabangsa. – AFP










