Polis siasat kejadian kereta pembantu calon BN disimbah cat - Utusan Malaysia

Polis siasat kejadian kereta pembantu calon BN disimbah cat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian kereta milik pembantu calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi disimbah cat dalam kejadian di Kampung Rinching Hulu, Semenyih, dekat sini dua hari lalu.

Jurucakap PRK Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Superintenden Mohd. Sabri Abdullah berkata, kes berkenaan merupakan satu daripada lapan kertas siasatan yang dibuka sepanjang tempoh berkempen bermula 16 Februari hingga hari ini.

“Kita telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam tempoh sama juga, kita telah menerima sebanyak 28 laporan polis antaranya berhubung Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 24D Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Sabri, sepanjang tempoh berkempen juga, sebanyak 154 permit ceramah dan kempen politik telah dikeluarkan iaitu Barisan Nasional (66), Pakatan Harapan (78) dan Parti Sosialis Malaysia (10).

“Kita telah menerima tiga laporan polis berkaitan ceramah dan kempen tanpa permit. Oleh itu, kita menegaskan sekali lagi agar parti-parti terlibat mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang PRK dan membuat permohonan permit bagi tujuan kempen.

“Selain itu, parti-parti yang terlibat dinasihatkan agar memantau dan memastikan penyokong-penyokong parti agar mengawal tingkah laku dan mematuhi arahan semasa pihak polis bagi memastikan proses berkempen berjalan lancar mengikut peraturan yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×