Polis rampas ketum dan ubat batuk - Utusan Malaysia

Polis rampas ketum dan ubat batuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG 24 Feb. – Polis merampas 86 kilogram daun ketum, 285 botol ubat batuk dan 45 bungkusan cecair dipercayai air ketum serta menahan empat lelaki dalam satu serbuan di belakang sebuah rumah di Kampung Pek, di sini, Jumaat lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 9.15 pagi, serbuan tersebut dilaksanakan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang atas maklumat orang ramai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Supritendan Mohd Shamsuri Mohd Zain berkata, ketika serbuan dilakukan empat lelaki berusia antara 18 tahun hingga 54 tahun itu dikatakan sedang memproses air ketum di belakang rumah tersebut.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di rumah milik salah seorang suspek mendapati cecair keperangan tersebut mengandungi 31.5 liter air ketum; 430 bungkus tumbuhan hijau disyaki daun ketum dan 285 botol ubat batuk dengan nilai keseluruhan bernilai RM 6757.50.

“Ketika serbuan dilakukan terdapat empat lelaki yang sedang berhimpun dan memproses kegiataan berkenaan. Saringan awal mendapati dua daripadanya positif amphetamine.

“Hasil siasatan mendapati bekalan daun ketum ini diperolehi dari Kedah manakala ubat batuk dari Kuala Lumpur.

“Modus operandi mereka adalah memproses dan menjual cecair itu di sekitar Kampung Pek dan sempadan Kuala Krai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini hari ini.

Mohd Shamsuri berkata, hasil siasatan mendapati cecair air ketum yang sudah diproses akan dijual dengan harga antara RM10 hingga RM15 sebungkus.

“Kegiatan memproses itu sudah bergiat aktif kira-kira sebulan yang lalu dan pembeli akan datang ke tempat memproses itu sendiri untuk membelinya. Keempat suspek juga mempunyai rekod lampau di mana tiga daripadanya berkaitan dadah dan seorang lagi berkaitan perjudian.

“Keempat-empat mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 bagi siasatan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN