GEORGE TOWN – Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang merampas sejumlah daun nipah kering dipercayai bagi dijadikan rokok selepas menahan sebuah bot dari Indonesia yang berlabuh di kawasan laut Weld Quay di sini kelmarin.
Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Superintendan Dimin Awang berkata, pihaknya turut menahan lapan kru warga Indonesia berusia 30 hingga 50 tahun ketika operasi kira-kira pukul 5 petang itu.
“Kita merampas sebanyak 63 kotak dan 474 beg berisi daun nipah yang dipercayai untuk dijadikan rokok yang kesemuanya seberat kira-kira 8,000 kilogram.
“Pemeriksaan telah mendapati nakhoda kapal itu gagal menunjukkan sebarang dokumen permit import bagi produk pertanian itu,” katanya pada sidang akhbar di sini sebentar tadi.
Menurut Dimin, pihaknya menyita sebuah kapal dan daun nipah berkenaan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai kira-kira RM350,000 bagi siasatan lanjut.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011. – K! ONLINE










