PETALING JAYA – Kelicikan sindiket pelacuran mempromosikan kegiatan persundalan menerusi laman web untuk lelaki hidung belang mendapatkan perkhidmatan seks warga asing berjaya ditumpaskan.
Kegiatan sindiket berkenaan terbongkar selepas sepasukan polis dari Bahagian Antimaksiat Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor menahan 11 pelacur warga Thailand dan Indonesia di sebuah hotel bajet di Sunway Mentari di sini tadi.
Dalam serbuan pukul 9.30 malam itu, polis turut menahan empat lelaki warga tempatan yang sedang leka mendapatkan belaian manja wanita berkenaan dalam bilik masing-masing.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahbudin berkata, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan sudah beroperasi sejak lima hari lalu di hotel tersebut.
Katanya, pelanggan akan menghubungi sindiket melalui aplikasi WhatsApp selepas mereka membuat pemilihan di laman web sebelum diberikan lokasi hotel pelacur tersebut.
“Pelanggan dikenakan bayaran RM230 bagi tempoh satu jam dan bagi pelanggan yang ingin bermalam pula perlu membayar RM950.
“Sindiket akan membekalkan makanan buat pelacur berkenaan dan mereka akan memperoleh komisen separuh daripada harga ditawarkan bagi setiap seorang pelanggan,” katanya kepada pemberita sebaik selepas operasi sebentar tadi.
Kesemua wanita berusia lingkungan 22 hingga 33 tahun yang ditahan itu datang dari Bangkok, Thailand serta Bandung, Indonesia.
Difahamkan, seorang pelacur mampu meraih pendapatan bersih berjumlah RM600 sehari.
Menurutnya lagi, kesemua tangkapan termasuk pelanggan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut. – K! ONLINE











