ALOR SETAR – Taktik licik seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah menggunakan peket minuman coklat jenama terkenal terbongkar apabila suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Puyu, Jalan Suka Menanti di sini Sabtu lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam itu, suspek berusia 30 tahun ditahan di bahagian dalam pagar rumah tersebut oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kotinjen Kedah.
Ketua JSJ Narkotik negeri, Superintendan Helmi Aris berkata, pemeriksaan fizikal yang dilakukan terhadap suspek yang bekerja sebagai pembancuh kopi itu tidak menjumpai barang salah.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah dengan disaksikan suspek menemui satu beg kanvas berzip warna hijau di atas lantai di ruang tengah rumah yang didapati mengandungi pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM343,176,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
Kata beliau, rampasan dadah melibatkan satu peket plastik lutsinar disyaki ketamin dianggarkan seberat satu kilogram (kg), 979 pil disyaki ekstasi dan 25 peket plastik berwarna merah jambu disyaki methamphetamine dan ketamin seberat 1,067.53 gram.
“Turut ditemui 25 peket plastik berwarna ungu bertulisan ‘Tie Guan Yin’ disyaki methamphetamine dan ketamin dianggarkan seberat 1,025.01 gram, 50 peket plastik warna ungu bertulis ‘Hot Chocolate Drink 3 IN 1’ disyaki berisi 2,135.06 gram methamphetamine dan ketamin serta satu papan aluminium foil berisi 10 biji pil erimin 5,” ujarnya.
Menurut Helmi, selain dadah pihaknya turut merampas sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz C350E AMG.
Ujar beliau, siasatan percaya suspek yang telah berkahwin itu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di pusat-pusat hiburan di negeri ini sejak awal tahun ini.
“Suspek cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengedarkan dadah yang dibungkus semula di dalam peket-peket kecil kepada pengunjung pusat hiburan termasuk golongan remaja,” jelasnya sambil mendedahkan sepeket dadah itu dijual pada harga RM160.
Tambahnya, suspek yang didapati positif dadah jenis ketamin ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











