SHAH ALAM – Polis akan memanggil 47 warga Malaysia yang menjadi tahanan di Kemboja dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan sindiket penipuan pekerjaan melibatkan mereka.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, prosedur tersebut perlu bagi mengetahui aspek-aspek penting termasuk individu yang membawa, memujuk dan apa yang dijanjikan kepada mereka itu.
“Mesti, kita akan memanggil 47 individu tersebut bagi mengambil keterangan daripada mereka.
“Kita memang ada dari segi risikan siapa yang terlibat namun kita tidak mahu beat the gun (membuat kesimpulan) sebelum siasatan diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan istiadat penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu berlaku susulan kerjasama antara sindiket di negara ini dan di Kemboja.
Ujar beliau, sindiket di negara ini berkemungkinan berperanan bagi mengumpul pekerja untuk bekerja di Kemboja manakala sindiket di negara berkenaan akan menerima mereka.
“Justeru, langkah pertama adalah kita hendak tahu apa cerita sebenar sama ada wujud unsur penipuan, dorongan, tipu daya atau sebagainya.
“Selain itu, adakah sindiket atau syarikat terlibat memenuhi janji dari segi gaji, tempat tinggal dan kemudahan lain. Sekiranya ini tidak dipenuhi bermakna berlaku aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya.
Jelas Noor Rashid, siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 26 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah dipetik berkata, telah mengenal pasti beberapa warga tempatan disyaki terbabit sindiket penipuan pekerjaan yang mengakibatkan 47 rakyat Malaysia ditahan di Kemboja pada 11 Disember lalu selepas lapan mangsa penipuan terbabit tampil membuat laporan polis.
Kata beliau, siasatan awal mendapati mereka diperdayakan kononnya untuk bekerja dalam bidang perhotelan di Kemboja dengan gaji bulanan antara AS$1,200 hingga AS$1,500, namun sebelum itu perlu membayar yuran pemprosesan antara AS$200 hingga AS$300 ke dalam akaun bank salah seorang rakyat tempatan.
“Kemudian, mangsa secara berasingan terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, Kemboja, antara Oktober hingga November 2018.
“Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, mangsa dibawa ke sebuah rumah dan tidak dibenarkan keluar, di mana makan minum disediakan, malah turut diarah menyerahkan telefon bimbit serta pasport mereka kepada individu yang menjaga dan mengawal mereka,” katanya. – K! ONLINE










