Pokok sawit tempat berlindung terbaik - Utusan Malaysia

Pokok sawit tempat berlindung terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 25 Feb. – Pokok kelapa sawit adalah tempat berlindung terbaik, demikian perkongsian cerita seorang pegawai 69 Komando (VAT 69) yang terlibat dalam pertempuran menentang penceroboh kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada 2013.


Pegawai Turus Kepolisian Am, 69 Komando, Supt Hakemal Hawari berkata kawasan pertempuran di Kampung Tanduo adalah di ladang kelapa sawit dan tiada tempat untuk anggota keselamatan terlibat berlindung.


“Pokok kelapa sawit adalah perlindungan dan pertahanan yang baik waktu itu kerana tiada bukit atau pokok besar untuk berlindung daripada tembakan. Ia lokasi baru untuk pertempuran,” katanya dalam satu sidang media di Pasukan Gerakan Khas, Ulu Kinta di sini, hari ini. 


Hakemal, yang mengetuai Sektor Alpha berperanan sebagai pasukan peninjau, berkata sebaik tiba di kawasan berkenaan pada 15 Feb 2013, pihaknya mendapati situasi dihadapi bukanlah satu operasi kecil. 


“Kami cadangkan kepada pihak atasan untuk penambahan anggota dari Ulu Kinta (69 Komando) untuk mantapkan lagi operasi. Waktu itu di bawah saya ada kira-kira 60 anggota,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Komander 69 Komando, ACP Abdul Rani Alias menyifatkan pertempuran dengan penceroboh yang juga penyokong kuat kesultanan Sulu, Azzimudie Kiram ibarat buku bertemu ruas.


Beliau, yang mengetuai Sektor Delta di Kampung Tanduo, mengakui kumpulan penceroboh bukan sahaja terlatih, malah mempunyai kelengkapan senjata.


”Mereka (penceroboh) memang berani mati, terlatih tapi kami (VAT 69) juga terlatih dan ini umpama buku bertemu ruas.


”Situasi pada masa itu sangat berbeza, peluru bersilang-silang. Selepas berakhirnya ancaman komunis (1989) tidak pernah lagi ada operasi peperangan, yang selalu hanya penjenayah,” katanya.


Bercerita lebih lanjut, Abdul Rani berkata pasukan Delta yang diketuainya bersama tiga lagi pasukan yang dibahagikan kepada Sektor Alpha, Bravo dan Charlie diarah meninjau kawasan terlibat secara dekat pada 28 Feb 2013.

“Kira-kira pukul 6.00 pagi pada 1 Mac pasukan saya clearkan kira-kira 20 buah rumah dan semasa dalam keadaan rehat kira-kira 9.45 pagi terdengar bunyi pertempuran di sektor Bravo dan Charlie,” katanya. 


Beliau berkata sebaik tiba pihaknya mendapati ASP Zulkifli Mamat serta Sarjan Sabaruddin Daud yang kedua-duanya anggota 69 Komando masing-masing dari Sektor Charlie dan Bravo meninggal dunia akibat terkena tembakan.


Ditanya perasaan beliau ketika itu, Abdul Rani berkata tidak dinafikan dia dan anggota yang lain marah serta sedih dengan kehilangan rakan setugas, namun pada masa sama semangat untuk menghapuskan semua penceroboh semakin membara. 


Dalam pada itu, Abdul Rani berkata 69 Komando akan mengadakan majlis memperingati tragedi Tanduo dikenali sebagai Majlis 1313 pada 1 Mac ini di sini dan ia juga sebahagian daripada pengisian sambutan 50 tahun 69 Komando. 


Antara pengisian Majlis 1313 yang julung kali diadakan itu ialah penyerahan batu peringatan Op Sulu/Op Daulat oleh pihak Institut Integriti Malaysia kepada 69 Komando selain penyampaian sumbangan kepada anak pegawai serta anggota yang terkorban.


Selain Zulkifli dan Sabaruddin, pertempuran dengan penceroboh kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo dan Kampung Simunul, Semporna mengorbankan tujuh lagi anggota keselamatan negara iaitu ACP Ibrahim Lebar, ASP Michael Padel, Sarjan Abdul Azis Sarikon, Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, Sarjan Detektif Baharin Hamit, Koperal Salam Tugiran dan Prebet Ahmad Hurairah Ismail. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN