KUALA LUMPUR 1 Feb. – Hanya seorang individu bawah umur yang masih ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) kerana terlibat dengan kegiatan jenayah kekerasan iaitu rompakan bersenjata.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pesalah juvenil itu sedang menjalani tahanan dua tahun di tempat tahanan berasingan daripada tahanan dewasa di Pusat Pemulihan Khas Kluang, Johor.
Beliau mengulas gesaan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) supaya kerajaan membebaskan 142 kanak-kanak dan juvenil yang ditahan di bawah POCA, kerana akta itu banyak memberi kesan trauma kepada golongan muda itu.
“Saya berasa terkejut dengan pendedahan itu, jadi saya segera memanggil menteri dan (pegawai) kementerian yang bertanggungjawab. Polis (PDRM) memaklumkan kepada kami sebenarnya tinggal hanya seorang sahaja di bawah POCA sehingga 30 Januari,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengikut statistik Kementerian Dalam Negeri, seramai 27 orang tahanan bawah umur masih lagi menjalani perintah sekatan (pengawasan polis di luar penjara) selama dua tahun berikutan terlibat dengan kongsi gelap, rompakan berkumpulan, curi motosikal, samun dan lain-lain kesalahan.
Di Putrajaya, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tidak semua individu bawah umur yang ditangkap oleh pihak polis akan dikenakan Perintah Tahanan atau Perintah Pengawasan Polis di bawah POCA.
Beliau berkata, sebaliknya setiap individu yang ditangkap akan melalui proses siasatan yang mendalam dan jika terdapat bukti keterlibatan dalam aktiviti yang boleh diambil tindakan di bawah POCA, barulah permohonan reman lanjutan dibuat di mahkamah sebelum proses inkuiri oleh Pegawai Siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dimulakan. – BERNAMA










