KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang diadakan di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 10.40 pagi dengan diiringi isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, segak berkemeja berwarna merah sambil disambut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Majlis yang dianjurkan oleh Guan Eng dan NCCIM itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara yang hadir pada majlis itu Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri kabinet lain serta Duta China ke Malaysia, Bai Tian dan Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia Vicki Treadell.
Majlis yang bermula pukul10 pagi itu dihadiri ribuan tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum. – Bernama










