SEREMBAN – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2019 di Dataran Centrio, Seremban 2 di sini malam ini.
Ketibaan Mahathir dan Siti Hasmah pada pukul 8.45 malam disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, Menteri Pengangkutan yang juga ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.
Turut sama menyambut ketibaan Perdana Menteri dan isteri ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof serta barisan Exco kerajaan negeri.
Mahathir kemudiannya melancarkan majlis rumah terbuka berkenaan yang dihadiri ribuan pengunjung yang mula membanjiri dataran tersebut seawal pukul 6 petang tadi.
Pada majlis itu, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan khas Tahun Baru Cina 2019 daripada Kumpulan Gendang 24 Perayaan dan Kumpulan Tarian Singa Muar yang merupakan kumpulan tarian singa terbaik
Selain itu, para pengunjung juga disajikan juadah makanan tradisi masyarakat Cina bermula pukul pukul 6 petang. – Bernama











