KUALA LUMPUR 24 Feb. – PKR menegaskan pendirian parti itu tidak berubah terhadap persetujuan mengangkat Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri apabila menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih jawatan itu selepas tempoh dua tahun.
Parti itu juga berkata perpaduan dan kesepakatan Pakatan Harapan (PH) harus dipertahan dan menolak keras segala tohmahan yang cuba melaga-lagakan pimpinan dan melemahkan kerjasama erat dalam kalangan PH.
“PKR berpegang teguh kepada persetujuan yang telah dicapai dan diumumkan pada 7 Januari 2018, di mana Dr. Mahathir diangkat menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri
“Manakala Anwar akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri kelapan selepas tempoh dua tahun. PKR menegaskan bahawa pendirian parti dalam perkara ini tidak berubah,” menurut Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam kenyataan di sini hari ini.
MPP PKR telah mengadakan mesyuarat bulanannya hari ini.
Kebelakangan ini wujud spekulasi membabitkan Dr. Mahathir dan Anwar kononnya persetujuan untuk memberikan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR itu tidak akan berlaku seperti dijanjikan sekali gus wujud usaha bagi menggulingkan Dr. Mahathir.
Anwar yang berceramah di Taman Sri Jenaris, Semenyih sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih malam tadi juga mengulangi sokongannya terhadap kepemimpinan Dr. Mahathir dan beliau tidak akan mengganggu kerjanya sebagai Perdana Menteri.
Menurut laporan Malaysiakini, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak akan campur tangan hal ehwal pentadbiran Dr. Mahathir dan pada masa sama mengharapkan beliau tidak akan diganggu apabila tiba gilirannya menjadi Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE










