KUALA LUMPUR 25 Feb. – Universiti Malaya (UM) hari ini mencatat sejarah apabila buat pertama kali pilihan raya kampusnya dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar sendiri.
Langkah ini selaras dengan saranan Kementerian Pendidikan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus pada September lalu yang mahukan pelajar diberi mandat untuk mengendalikan pilihan raya kampus secara bebas dan telus.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus UM (JPRKUM), Vaness Eunice Scully berkata, langkah ini diyakini dapat memperkasakan pelajar seterusnya melahirkan pelajar yang lebih aktif bukan sahaja dalam aspek akademik, bahkan aspek kepemimpinan dan pengurusan.
“Inilah pemerkasaan pelajar yang sebenar bagi saya. Pelajar diberi kuasa autonomi untuk mengendalikan pilihan raya sebesar ini.
“Banyak cabaran yang kami hadapi kerana sekian lama pilihan raya diuruskan oleh pegawai universiti, agak sukar untuk mendapatkan kepercayaan dan penghormatan dari pelajar (sebagai pengendali pilihan raya),” katanya dalam sidang akhbar di Auditorium Kompleks Perdana Siswa UM di sini.
Seramai 70 calon disahkan akan bertanding dalam pilihan raya kampus kali ini yang mana 25 daripadanya bersaing untuk lapan kerusi umum manakala 45 calon lagi bakal merebut 32 kerusi Akademi, Fakulti dan Pusat.
Seramai 14,480 pelajar layak untuk mengundi.
Sementara itu, menurut Vanessa, satu lagi pembaharuan yang dilakukan dalam pilihan raya kali ini adalah dengan melanjutkan tempoh berkempen dari tiga hari kepada tujuh hari.
Tempoh berkempen akan bermula pada pukul 8 malam ini sehingga pukul 11.59 malam hari Ahad, sebelum pengundian dijalankan pada keesokan harinya.
“Kami akan bekerjasama dengan bahagian keselamatan dan pihak polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang waktu kempen,” katanya. – UTUSAN ONLINE










