Piala Airmarine bukan Pestabola Merdeka - Utusan Malaysia

Piala Airmarine bukan Pestabola Merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi menegaskan, kejohanan sulung Piala Airmarine merupakan salah satu alternatif untuk menaikkan rangking skuad Harimau Malaya di pentas Asia dan ia bukan pengganti Pestabola Merdeka.

Yusoff memberitahu, menerusi kejohanan itu, skuad Harimau Malaya mahu mencapai ran­king ke-34 di Asia sekali gus dapat mengelak pusingan pertama untuk Kelayakan Piala Dunia 2022 memandang­kan pasukan bimbi­ngan Tan Cheng Hoe itu menghuni kedudukan ke-35 Asia dan 167 peringkat dunia.

Jelasnya, pasukan yang menduduki tangga 35 dan ke bawah perlu melalui pusingan pertama playoff sebelum memasuki pe­ringkat kumpulan Kelayakan Pia­la Dunia.

“Jangan salah faham, kejohanan ini bukan pengganti Pestabola Merdeka. Pestabola Merdeka tidak dibubarkan kerana ada nilai sentimental tersendiri dan kita tidak mahu ganggu nilai-nilai itu.

“Pestabola Merdeka masih ada dalam perancangan dan kita tidak mahu peminat terkeliru antara dua kejohanan ini, namun saya tidak fikir ia akan dianjurkan tahun ini kerana kita berdepan jadual terlalu padat.

“Jadi, bila ada masalah jadual padat, pasukan-pasukan ber­saing tidak dapat beri persetujuan dan itu menyukarkan kita untuk cari tarikh sesuai,” katanya pada sidang akhbar sempena kejohanan Piala Airmarine di Subang Jaya semalam.

Kejohanan tersebut yang bakal berlangsung pada 20 dan 23 Mac di Stadium Nasional Bukit Jalil bakal disertai tiga pasukan lain iaitu Singapura, Oman dan Kepulauan Solomon.

Yusoff turut memberitahu, skuad Harimau Malaya yang akan beraksi pada Piala Airmarine tidak akan dibarisi pemain bawah 23 tahun (B-23) ekoran mereka bakal menyertai skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee untuk aksi Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 pada bulan sama.

“Kali ini keutamaan pemain B-23 akan diberikan kepada skuad Kim Swee bagi menyiapkan pasukan menghadapi Kelayakan AFC B-23. Perkara itu telah dibincangkan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN