Piala Airmarine bukan pengganti Pesta bola Merdeka - Utusan Malaysia

Piala Airmarine bukan pengganti Pesta bola Merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Feb.- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan Piala Airmarine bukan pengganti kepada penganjuran Pesta bola Merdeka, sebaliknya ia lebih kepada menguji kekuatan dengan Harimau Malaya.

Selain itu, penganjuran pertandingan ini juga merupakan platform terbaik untuk Malaysia memperbaiki kedudukan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan zon Asia.

Penganjuran Piala Airmarine 2019 yang turut disertai Oman, Singapura dan Kepulauan Solomon bakal dianjurkan buat julung kali pada 20 hingga 23 Mac ini dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, tiada mana-mana penganjuran mampu menggantikan Pesta bola Merdeka yang memiliki nilai sentimental namun ia mungkin tidak dapat dianjurkan tahun ini ekoran kepadatan masa.

“Pesta bola Merdeka ada nilai sentimental tersendiri dan kami akan terus kekalkan tradisinya. Jadi kita tidak mahu jadikan Piala Airmarine sebagai ganti sebaliknya ia akan jadi tambahan dalam kalendar tahunan untuk pasukan negara.

“Ia satu kejohanan yang memberi peluang buat pasukan negara beraksi di peringkat tertinggi dan kompetitif. Sebenarnya lebih banyak aksi lagi bagus namun saya tidak nampak Pesta bola Merdeka dapat dianjurkan disebabkan jadual terlalu padat tahun ini,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Piala Airmarine, di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents Antarabangsa, Julian Kam yang menyifatkan penganjuran itu sebagai satu usaha lebih ke depan dalam usaha membantu FAM menaikkan martabat bola sepak Malaysia.

Tiket perlawanan akan mula dijual pada 1 Mac ini menerusi Proticket berharga RM45 untuk tempat duduk grandstand dan RM35 untuk tempat duduk terbuka.

“Ada dua matlamat utama Piala Airmarine yang akan dianjurkan dalam kalendar FIFA. Selain mewujudkan platform bagi pasukan kebangsaan dalam aksi kompetitif, ia dapat menarik minat peminat bola sepak di Asia Tenggara datang ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN