PUTRAJAYA 1 Feb. – Pakatan Harapan (PH) akan menubuhkan satu badan khas yang bertindak menyelaras semua gerak kerja berkaitan kerajaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata kewujudan badan itu penting bagi memastikan setiap tindakan yang dilakukan kerajaan adalah tersusun dan dilihat ada ‘kebersamaan’ di mata rakyat.
“Setakat ini kita dapati rakyat tidak mengetahui secukupnya apa yang dilakukan kerajaan kerana tiada penjelasan secara bersepadu dan bersama sesama kita.
“Sebab itu, mesyuarat hari ini memutuskan satu badan khusus perlu ditubuhkan bagi menjawab segala tuduhan berkaitan PH sejak membentuk kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata antara perkara perlu dijelaskan ialah PH dapat melaksanakan pelbagai dasar yang memberi manfaat kepada rakyat walaupun pada awalnya perkara tersebut diragui banyak pihak. – BERNAMA











