HULU LANGAT 17 Feb. – Pakatan Harapan (PH) berjanji akan memastikan setiap ceramah sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih akan mempunyai permit polis.
Calonnya, Muhammad Aiman Zainali berkata, beliau akan memeriksa program-program yang akan dijalankan selepas ini.

“Memang saya akan periksa juga. Kita tahu hal itu. Itu hal penganjur. Mana yang jemput kita, saya akan pergi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Pagi Pekan Semenyih dekat sini hari ini.
Muhammad Aiman berkata demikian bagi mengulas isu kempen ceramah pertamanya di tapak pasar malam Taman Jenaris, Kajang semalam yang terpaksa dihentikan berikutan tidak mempunyai permit polis.
Muhammad Aiman yang dijadualkan sebagai penceramah terakhir dalam program tersebut difahamkan bagaimanapun tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan lain.
Arahan untuk menghentikan ceramah berkenaan dikeluarkan penguat kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebaik sahaja dua penceramah selesai memberikan ucapan masing-masing.
Penceramah tersebut ialah Ketua Penerangan Pemuda PKR Pulau Pinang, Fahmi Zainol dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal.

Ditanya sambutan orang ramai terhadap PH, Muhammad Aiman berkata, beliau percaya sokongan sehingga kini masih memihak kepada PH.
“Kawasan ini dari saya kecil, saya selalu jalan sini. Banyak juga anak-anak penduduk di sini saya kenal. Kita harap penduduk mengundi kita,” ujarnya.










